Followers

19 November 2010

Maksud 786




Pendahuluan


Sesetengah umat Islam percaya bahawa 786 bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم . Kepercayaan ini sangat popular terutama di India dan Pakistan sehinggakan mereka menggunakan 786 sebagai pengganti kepada kalimah Basmalah di dalam penulisan. Mereka berasalan untuk mengelakkan nama Allah atau ayat Quran ditulis di atas kertas-kertas biasa. Kononnya cara ini lebih ‘bagus’ dan lebih diredhai oleh Allah. Ada yang lebih Islamik, mereka menggunakan 786 sebagai nombor rumah, plat kereta, dan sebagainya konon untuk mendapat ‘keberkatan’.


Persoalannya, sejauh manakah kebenaran perkara ini? Benarkah 786 bererti kalimah Basmalah? Sekiranya benar, apakah signifikannya di dalam Islam?


Nilai Gematrika (Gematrical Values)
Terdapat dua kaedah dalam penyusunan huruf hija’iyah (huruf Arab). Kaedah pertama ialah cara susunan biasa bermula dengan Alif, Ba, Ta, Tsa dan seterusnya. Satu lagi kaedah lain disebut sebagai Abjad numeral’s method atau ordinal method. Thomas Patrick Hughes dalam kamusnya Dictionary of Islam menjelaskan makna Abjad sebagai:

"The name of an arithmetical arrangement of the alphabets; the letters of which have different powers from one to one thousand. It is in order of the alphabets as used by the Jews as far as 400 AD, then six remaining letters being added by Arabians."


Secara mudahnya, cara susunan huruf kaedah Abjad adalah seperti di jadual berikut:

Nilai Huruf Arab Cara Sebutan 1 Cara Sebutan 2
1 أ أَبْجَد أَبُجَدٍ
2 ب
3 ج
4 د
5 ه هَوَّز هَوَزٍ
6 و
7 ز
8 ح حُطِّي حُطِيَ
9 ط
10 ي
20 ك كَلَمَن كَلْمَن
30 ل
40 م
50 ن
60 س سَعْفَص سَعْفَص
70 ع
80 ف
90 ص
100 ق قَرْشَت قُرِشَت
200 ر
300 ش
400 ت
500 ث ثَخَذ ثَخُذ
600 خ
700 ذ
800 ض ضَظِغ ضَظُغ
900 ظ
1000 غ


Kaedah ini hakikatnya adalah hasil cedokan dari idea Pythagoras yang berpendapat bahawa semua perkara boleh diterjemahkan kepada nombor. Fahaman ini disebut sebagai science of Gematria. Mungkin kerana kagum dengan kaedah ‘seni’ ini, terdapat di kalangan Muslim (yang sudah tiada kerja) menukar ayat-ayat Al-Quran malahan keseluruhan surah kepada nombor. Salah satu nombor yang kerap digunakan ialah 786 yang dikatakan bermaksud kalimah Basmalah.



Satu Bentuk Penghinaan
786 hanyalah satu nilai yang tidak membawa sebarang maksud. Sekiranya saya memberikan nombor 66, 92, 352, 296 dan 62, dengan menggunakan kaedah Abjad adakah anda mengetahui apakah maksud di sebalik nombor-nombor tersebut? Buat pengetahuan anda, nombor-nombor tersebut adalah numerical values untuk kalimah Allah, Muhammad SAW, Qur’an, Rasul dan Nabi!


Kita semua sedia maklum setiap banduan mempunyai nombor mereka yang tersendiri dan mereka lazimnya dipanggil dengan nombor tersebut. Sebagai seorang Muslim yang waras, tergamakkah kita menyamakan banduan dengan Allah dan Rasul dengan memanggil mereka dengan nombor-nombor tertentu? Bukankah satu penghinaan apabila memanggil seseorang dengan panggilan nombor? Apatah lagi menukar ayat-ayat dari Al-Quran dan surah kepada nombor lantas sesuka hati menyatakan ini adalah ayat Al-Quran.

Kesilapan Dalam Pengiraan


Kalimah بسم الله الرحمن الرحيم, ayat pertama dari Al-Quran bermaksud ‘dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani’. Apakah 786 mempunyai maksud yang sama seperti kalimah tersebut? Tidak.


Sekiranya diteliti, hakikatnya jumlah nilai sebenar untuk kalimah Basmalah adalah 787 dan bukannya 786. Sungguh memalukan numerologis yang mengasaskan 786 ini tidak mampu menyelesaikan masalah arithmetik yang begitu mudah. Numerologis tersebut telah terlupa untuk memasukkan sekali huruf Alif ke dalam pengiraan dalam kalimah الرحمن yang sebenarnya dieja الرحمان.
Sekiranya juga kalimah بسم dieja dengan ejaan sebenar, باسم dan tanda shaddah pada kalimah الله dikira sebagai satu huruf yang lain, nilainya malahan melebihi 787!


Dengan sedikit imaginasi dan kekreatifan, 786 hakikatnya boleh ditukarkan kepada pelbagai frasa sama ada mempunyai maksud mahu pun tidak. Sebagai contoh, perkataan الأمير المؤمنين عليه السلام juga mempunyai nilai 786. Ini hanya satu contoh. Banyak lagi contoh lain yang boleh didapati. Contoh ini sudah cukup menjadi bukti mudah bahawa 786 bukanlah membawa maksud yang khusus untuk Basmalah.

Al-Quran Diturunkan Dalam Bahasa Arab


Firman Allah subhaanahu wa ta’ala:



Sebuah Kitab Yang dijelaskan ayat-ayatNya satu persatu; Iaitu Al-Quran Yang diturunkan Dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang Yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. [Al-Fusshilat : 3]

Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran Yang diturunkan Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. [Az-Zukhruf : 3]

Dan Demi Sesungguhnya Kami Mengetahui, Bahawa mereka Yang musyrik itu berkata: " sebenarnya Dia diajar oleh seorang manusia". (padahal) bahasa orang Yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab Yang fasih nyata. [An-Nahl : 103]

(Ia diturunkan) Dengan bahasa Arab Yang fasih serta terang nyata. [Asy-Syu’ara’ : 195]

Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran Yang dibaca Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. [Yusuf : 2]


Berdasarkan dalil-dalil di atas, sudah jelas dan terang bahawa Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan bukannya dalam nombor arithmatik. Mengapa pula kita sibuk mahu menterjemahkannya kepada nombor? Mengapa tidak saja Al-Qur’an diturunkan dalam bentuk nombor? Bukankah itu lebih ‘indah’, lebih ‘seni’ dan lebih ‘mukjizat’ berbanding bahasa Arab? Apa mesej yang boleh manusia terima sekiranya Al-Qur’an diturunkan dalam bentuk nombor? Hal ini hakikatnya adalah suatu kesilapan dan kebodohan.

Dalil Membantah Pendapat Yang Membenarkan

Sesetengah ulama yang membenarkan penggunaan 786 sebagai ganti kepada Basmalah menggunakan alasan sekiranya bimbang tidak menghormati kalimah tersebut sekiranya ditulis dengan penuh. Namun yang demikian, di dalam surah An-Naml ayat 30:

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,”


Dalam ayat tersebut, Nabi Sulaiman sendiri tidak bimbang menulis Basmalah di dalam surat yang akan diserahkan kepada Ratu Balqis yang ketika itu masih kafir. Di dalam perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah SAW sendiri memerintahkan Saidina Ali menulis kalimah Basmalah dalam nas perjanjian tersebut. Akan tetapi ditukar kepada Bismikallahumma bukan kerana Rasulullah bimbang kalimah itu tidak dihormati, tapi kerana orang Musyrikin Mekah tidak memahami maksud Ar-Rahmaan.

Malahan, Rasulullah SAW ketika menghantar surat kepada An-Najasyi Maharaja Habsyah, Kisra Raja Parsi dan Kaisar Rom dan para pemerintah negeri lain untuk menyeru mereka memeluk Islam, baginda menulis Basmalah pada permulaan surat. Rasulullah sedikitpun tidak berasa bimbang dengan kemungkinan mereka akan menghina kalimah Basmalah dengan cara mengoyak, membakar atau memijak surat tersebut.

Berdasarkan dalil Al-Qur’an dan sunnah di atas, apakah masih relevan menggunakan alasan ‘ditakuti akan menghina kalimah Basmalah’? Apakah mereka tidak sedar bahawa menukar kalimah kepada nombor yang langsung tiada signifikan sebenarnya telah pun menghina dan tidak menghormati kalimah tersebut?

Tiada Pahala

Kita diperintahkan untuk membaca Al-Quran seperti firman Allah dalam ayat berikut

"Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia Dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur." [Al-Israa : 106]


Apakah seseorang itu boleh membaca Al-Qur’ran sekiranya ditukarkan kepada nombor? Sebagai contoh, kita cuba tukarkan surah Al-Fatihah kepada nombor seperti di dalam jadual berikut:

Ayat Nilai
بسم الله الرحمن الرحيم 787
الحمد لله رب العالمين 632
الرحمن الرحيم 618
مالك يوم الدين 242
إياك نعبد و إياك نستعين 836
اهدنا الصراط المستقيم 1073
صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضلين 6001
Jumlah 10189

Apakah dengan ini bermakna cuma menyebut 10189, bererti kita sudah membaca keseluruhan Al-Fatihah dan mendapat pahala? Apakah dengan ini bermakna sekiranya kita mahu membaca Al-Fatihah 10 kali, cukuplah kita mendarabkan 10189 dengan 10 menjadi 101890, dengan kata lain cukup 10 kali? Apakah dengan sebegitu mudah kita boleh mendapat ganjaran pahala?

Nabi SAW pernah bersabda :


"Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah maka dia mendapatkan satu kebajikan, dan satu kebajikan dilipatkan 10 (sepuluh) kali, saya tidak mengatakan Alif, Lam, Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf."[Riwayat Ibnu Mas’ud]

Jelas dalam hadis ini bahawa untuk mendapatkan pahala, Al-Qur’an perlu dibaca dengan huruf Arab, dan bukannya nombor.

Fatwa Mengharamkan

Berikut adalah petikan fatwa yang mengharamkan penggunaan nombor 786 yang dianggap sebagai Basmalah:

Tajuk : Kepercayaan Terhadap Angka 786 Bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم

Isu : Hukum mempercayai dan menyakini bahawa No 786 adalah bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم

Keputusan :

Alhamdulillah Fatwanya,

Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud بسم الله الرحمن الرحيم , juga menyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan aqidah أهل السنة والجماعة dalam syariah serta akhlak Islam.

Perbuatan ini juga termasuk didalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan displin-displinnya dan tidak mendapat hidayah Allah S.W.T.
Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini dengan serta merta.

Oleh : Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor

Penutup
Nombor 786 bukanlah salah satu ajaran Islam melainkan hanyalah semata-mata bid’ah. 786 hanyalah sebuah nilai yang tidak membawa sesuatu maksud pun malahan ia adalah satu bentuk penghinaan yang nyata sekiranya disamakan maksudnya dengan kalimah suci Basmalah. Sebagai umat Islam yang beriman bertaqwa, sama-samalah kita meninggalkan kefahaman karut ini yang dicipta untuk mengelirukan kefahaman umat Islam terhadap Al-Qur’an. Wallahua’lam.










p/s:  info nih aku cedok dari iLuvislam.com 

2 comments:

zt-zati said...

Oo..
baru tau..
sbelum ni penah dengar je 786 tu..
xtau plak merujuk kpd basmallah..
~tapi, memang betol pun, sepatutnye kte sebut je panjang2 tu. lagi elok.
dari pandai2 pendekan,padahal maksud da salah..

CiPoT CeDoT said...

betol3....
selalu nya number 786 nih bnyk kat kedai mamak...
mungkin sebab dorg nak laris kan jualan kot...tp senang kan number tuh boleh merosakan akidah ubat islam sendiri..

allahualam...

KriTikan PeDas

Grab This